39. Berhala Kafir Quraisy Dapat Berbicara

   
39. Berhala Kafir Quraisy Dapat Berbicara

39. Berhala Kafir Quraisy Dapat Berbicara


 

Kitab : Al Jawahiratul Makhfiyyah

Judul : Berhala Kafir Quraisy Dapat Berbicara

Disusun oleh : Mohammad Amri Yusof     

Ditulis oleh : Sallehudin Bin Sufi

Dikarang oleh : Ahmad Fahmi Hadiid Syams Al Makhfy


Pada zaman rasulullah, terjadi beberapa peristiwa yang telah menggemparkan di Mekah. Terdapat berhala yang diberi nama Hubal yang mampu berbicara, milik Walid bin Mughirah. Walid bin Mughirah ketika itu adalah salah seorang pembesar kafir Quraisy.


Peristiwanya bermula apabila kaum Quraisy bermesyuarat di dalam melakukan perancangan untuk menghalang dakwah nabi, terutamanya apabila menjelang musim haji yang bakal tiba nanti. 


Yang pastinya, kaum Quraisy masih tetap menolak dakwah dan tawaran nabi untuk bertauhid kepada Allah. Mereka mahu mencari alasan yang sesuai untuk menolak dari ajaran tersebut.


Berbagai usul dan idea telah muncul, seperti menyatakan nabi Muhammad sebagai dukun, penyair, penyihir, pengacau dan berbagai usulan lain, bahkan Nabi Muhammad s.a.w akan dituduh sebagai orang gila. Walid menolak semua usul tersebut kerana semua itu sangat jauh pada kenyataan yang ada pada peribadi dan perilaku nabi Muhammad. Ketika mereka meminta usul dari Walid, dia meminta waktu tiga hari untuk memikirkannya.


Dalam waktu tiga hari tersebut, Walid bin Mughirah telah melakukan upacara penyembahan kepada berhalanya iaitu Hubal, secara bersungguh-sunguh tanpa henti. Dia sanggup tidak makan, dan tidak minum serta tidur bahkan mengajak ahli keluarganya melakukan hal yang sama. Dia juga melakukan penyembahan yang luar biasa berbanding sebelumnya. Setelah tamat waktu tiga hari, Walid berkata kepada berhalanya Hubal: "Demi penyembahan yang aku lakukan dalam tiga hari ini, beritahu aku perihal Muhammad..!"


Saat itulah jin kafir bernama Musfir masuk ke dalam berhalanya Hubal dan berkata: Muhammad bukanlah nabi, jangan kau benarkan perkataannya.


Dan beberapa "nasihat" Musfir untuk Walid yang pada dasarnya memburuk-burukkan Nabi Muhammad. Walid sangat gembira dan memberitahu hal tersebut kepada pembesar kafir Quraisy yang lain. Mereka mengundang nabi Muhammad pada keesokan harinya untuk berkumpul di halaman Ka'bah. Nabi datang bersama Abdullah bin Mas'ud. Ketika mereka telah berkumpul semua, mulailah Walid memberi persembahan pada berhalanya dan menanyakan seperti hari sebelumnya. Tanpa berlengah, Musfir segera masuk ke dalam Hubal dan mengatakan perkataan seperti hari sebelumnya. Kaum kafir Quraisy itu bersorak gembira. Ibnu Mas'ud bertanya kepada nabi Muhammad akan perkara itu. "Wahai Rasulullah, apa yang telah dikatakan berhala tersebut? Nabi s.a.w menjawab : "Tenanglah wahai Abdullah, sesungguhnya itu adalah syaitan".


Dalam masa yang sama, terdapat jin muslim yang tinggal sebagai suami isteri di Tursina. Mereka mengetahui peristiwa yang sedang berlaku di Mekah. Si isteri yang sangat cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w, menangis kesedihan kerana jin kafir Musfir telah menghina Rasulullah. Apabila ditanya oleh suaminya Muhair bin Abhar, si isteri menceritakan peristiwa tersebut. Apabila mendengar penjelasan tersebut dari isterinya, Muhair bin Abhar sangat marah. Dia mencari jin kafir Musfir dan mengejarnya hingga jin kafir itu di bawa semula ke Mekah. Akhirnya Musfir telah berjaya di bunuh oleh Muhair bin Abhar, di kawasan antara bukit Safa dan Marwah.


Nabi Muhammad dalam perjalanan pulang dengan perasaan gundah dan sedih. Baginda tahu bahawa semua itu adalah rekaan syaitan terkutuk. Tetapi bagaimana cara meyakinkan mereka. Dalam kegundahan tersebut, tiba-tiba baginda bertemu penunggang kuda berpakaian hijau. Ia sedang membawa kudanya mendekati dan memberi salam kepada Baginda. Nabi Muhammad berkata : Siapa kamu? Salam yang kamu ucapkan, sungguh terasa amat indah bagiku.


Saya dari bangsa jin. Saya telah memeluk islam sejak zaman nabi Nuh. Kata Muhair bin Abhar. Mulailah ia menceritakan pengalamannya sejak melihat isterinya menangis, dan cerita tentang nabi Muhammad bersama kafir quraisy Walid bin Mughirah. Juga pengejarannya terhadap Musfir. Ia juga memberitahu baru sahaja membunuh Musfir di antara bukit Safa dan Marwah.


Kepalanya yang terpotong berada di kandang kuda, sedangkan badannya tercampak di antara Safa dan Marwah yang menyerupai seekor kambing tanpa kepala. Ia juga menunjukkan pedangnya yang masih berlumuran darah Musfir.


Nabi Muhammad amat gembira mendengar cerita Muhair tersebut, dan mendoakan kebaikan atas apa yang dilakukannya. Baginda kemudian berkata: Siapakah namamu..?


Jin itu menjawab "Muhair bin Abhar, saya tinggal di gunung Tursina!" kemudian Muhair berkata lagi: "Ya Rasulullah, apakah engkau tidak ingin aku mengejek mereka melalui berhala-berhala mereka, sebagaimana mereka telah mengejek engkau? Nabi s.a.w menjawab : "Lakukan saja kalau engkau suka".


Tatkala kaum kafir Quraisy masih riang gembira menyambut kemenangan dengan peristiwa sebelumnya, dengan gembira mereka mengundang Nabi SAW untuk hadir di dalam pertemuan yang sama keesokan harinya. Mereka menghiasi berhala Hubal dengan baju dan aneka persembahan, kemudian berkata, "Hai Hubal, betapa cerahnya penglihatanku hari ini jika engkau mengejek Muhammad.”


Muhair yang telah siap sedia di tempat tersebut, segera masuk ke dalam berhala Hubal lalu mengeluarkan perkataan yang sangat mengejutkan kaum kafir Quraisy. Dia berkata : "Wahai penduduk Makkah, ketahuilah bahawa Muhammad ini adalah Nabi yang Haq, agamanya benar, ia mengajak kepada jalan yang benar. Kalian semua dan berhala-berhala kalian ini tidak ada gunanya, jika kalian tidak membenarkan dan mengimaninya, kalian akan berada di neraka jahanam, kekal di dalamnya. Ikutilah Muhammad, ia Nabi Allah, dan makhluk terbaik-Nya."


Kaum kafir Quraisy terlopong menganga seakan tidak percaya, Bagaimana percakapan itu boleh keluar dari "bibir" berhala Hubal yang sama, tetapi agak jauh berbeza dengan perkataan sebelumnya. Abu Jahal seakan dapat memahami situasi tersebut, lalu segera bangkit dan mengambil berhala Hubal, kemudian membanting ke tanah hingga pecah berkeping-keping.


Selepas peristiwa itu, Nabi SAW pulang dengan gembira. Beliau juga sempat memberikan nama baru buat Muhair, yakni Abdullah bin Abhar. Ibnu Abhar sangat gembira dengan pemberian nama baru oleh Nabi SAW tersebut, ia sangat suka dan sering melafazkan syair untuk membanggakan nama barunya dalam perjuangannya membela Nabi SAW.


Diperbarui
Tambahkan Komentar

Translate

Pengunjung